Apabila seseorang membuat pinjaman dengan institusi kewangan, maklumat kredit peminjam direkod melalui sistem dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System) atau umum mengenalinya sebagai CCRIS. Sistem ini dikendalikan Biro Kredit ditubuhkan di bawah Akta Bank Negara 1958 dan mula beroperasi sejak tahun 1982.
Setiap institusi kewangan yang bernaung di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) akan menghantar maklumat semua peminjam secara bulanan ke BNM untuk dimasukkan ke pangkalan data ini. Maklumat ini berkaitan jenis pinjaman, jumlah pinjaman, jumlah ansuran bulan dan pembayaran balik pinjaman. Maklumat ini sentiasa dikemas kini berdasarkan laporan dari institusi kewangan terbabit.
Dengan kata lain, laporan CCRIS adalah fakta dan rekod yang disediakan oleh institusi kewangan dan disatukan kepada satu badan iatu Biro Kredit. Namun begitu, laporan ini tidak memberikan cadangan mengenai status kredit seseorang individu kerana setiap institusi kewangan mempunyai dasar yang berbeza dalam membuat penilaian risiko kewangan setiap individu.
Dengan adanya sistem CCRIS, institusi kewangan boleh membuat semakan tentang komitmen kewangan seseorang yang ingin membuat pinjaman. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari CCRIS, ia membolehkan bank membuat pertimbangan sama ada untuk meluluskan permohonan pinjaman atau sebaliknya.
Tanggapan yang menyatakan CCRIS adalah satu senarai hitam tidak benar. Ia rekod pinjaman seseorang individu dengan institusi kewangan yang mungkin mempunyai rekod baik atau buruk.
Apa yang ada di dalam laporan CCRIS terdapat tiga komponen utama iaitu yang pertama membabitkan kredit belum jelas seperti pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, kredit kad, pinjaman peribadi atau overdraft. Apa yang dinyatakan termasuk maklumat jumlah baki, had, kelakuan pembayaran dan status undang-undang jika ada.
Kedua, akaun perhatian khas iaitu semua kemudahan kredit belum jelas yang masih dalam pengawasan rapi institusi kewangan.
Manakala, ketiga semua permohonan yang telah diluluskan kepada peminjam sepanjang 12 bulan lalu.
Setiap pinjaman diberikan skor dalam bentuk nombor untuk menunjukkan bilangan pembayaran terlepas. Sebagai contoh, 0 membawa maksud anda membuat pembayaran pada waktu yang ditetapkan dan 1 bermakna ada satu pembayaran terlepas untuk satu bulan.
Laporan CCRIS menunjukkan rekod pembayaran balik 12 bulan lepas sahaja, selepas itu data tertua dihapuskan.
Bagaimana untuk mengetahui rekod CCRIS tidak baik?
Penting untuk seseorang individu mengetahui status kredit diri sendiri sebelum membuat permohonan pinjaman. Laporan ini boleh didapati di BNM melalui kios yang disediakan dan anda boleh terus cetak dan dapatkan laporan CCRIS serta- merta dengan hanya menggunakan MyKad. Bagi sesiapa yang berjauhan, permohonan secara rasmi perlu dilakukan melalui borang yang disediakan di laman web BNM.
Berikut adalah petunjuk laporan kredit anda yang mungkin bermasalah untuk memohon pinjaman dari mana-mana bank.
1. Akaun di bawah status undang-undang (Tindakan undang-undang yang diambil) atau akaun perhatian khas.
2. Pembayaran yang lewat dari tarikh yang ditetapkan.
3. Penggunaan kad kredit yang tinggi menjadi petunjuk yang kurang baik.
4. Nisbah Khidmat Hutang (DSR) yang tinggi. Ini dilakukan dengan membandingkan jumlah pendapatan dan jumlah baki kredit / pinjaman.
5. Permohonan kredit atau pinjaman aktif yang berganda. Semakin banyak permohonan pinjaman yang dibuat semakin terdesak anda kelihatan di mata bank.
Terdapat tips untuk memperbaiki laporan CCRIS bagi meningkatkan peluang mendapat pinjaman.
Sekiranya anda mempunyai senarai penggunaan kredit yang tinggi, anda perlu jelaskan beberapa baris kredit anda sebelum mengemukakan permohonan pinjaman baru.
Anda perlu pastikan setiap pinjaman dibayar pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan dan sekiranya tarikh pembayaran pinjaman sebelum anda menerima gaji, anda boleh cuba untuk minta bank untuk melambatkan kitaran bil, iaitu selepas anda menerima gaji.
Jika anda telah dikenal pasti mempunyai rekod pembayaran lewat, tunggu 12 bulan dari tarikh anda dikenal pasti lewat sebelum mengemukakan permohonan pinjaman.
Sekiranya anda ingin membuat pinjaman baru, hadkan jumlah permohonan pinjaman. Terlalu banyak permohonan pinjaman sebenarnya mengurangkan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman.
Walaupun anda tidak bercadang untuk membuat permohonan pinjaman, saya sarankan anda untuk mengetahui status kredit dengan membuat semakan laporan CCRIS sekurang-kurangnya setiap 12 bulan, kerana laporan ini boleh bertindak sebagai rekod peribadi, untuk mengetahui berapa banyak sebenarnya jumlah kredit anda, berapa baki keseluruhan hutang dan juga rekod bulanan yang mungkin anda pernah tertunggak.
Bagi sesiapa yang pernah menjadi penjamin kepada pinjaman, laporan kredit bulanan juga dicatatkan dalam kredit CCRIS. Jika orang yang anda jamin itu tidak bayar pinjaman dengan tepat pada masanya, ianya sudah merosakkan laporan CCRIS anda.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7833#sthash.kKtXeMoc.dpuf